BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 2, 2009

Maaf, bukan aku tak sayang........

Salam.

Sudah 2 bulan aku tidak mengemaskini blogku ini
Bukan tak sayang lagi, tapi masa terlalu cemburu
Dengan izinNYA juga aku pasti akan kembali
Sekarang ni lebih gemar blog kawan-kawan dan menyelami emosi mereka
Ada yang baru kehilangan orang tersayang, ada yang baru putus cinta, ada yang sedang gembira bersua keluarga (masih suasana raya) dan macam-macam lagi.

Hingga jumpa lagi.

Wednesday, July 29, 2009

Diam bersarang

Dua minggu lebih aku mendiamkan diri, dalam diam aku terperangkap dalam sarang, sarang yang penuh dugaan dan cubaan. Ada ketika aku begitu letih dilambung ombak dugaan. Hampir lemas lemah tak bermaya. Dengan kasih sayang dan rahmatNYA aku berdiri semula. Aku belum mati, jiwaku juga belum mati, aku harus terus hidup selagi dipinjamkan nyawa pada jasadku......

Itu luahan hatiku, lontaran emosiku.....

Petang tadi panggilan dari jauh (petang aku, pagi dia di sana) sedikit sebanyak menyumbang semangat buat aku. Terima kasih kerana mengingati aku di sini. Selingan lagu "Ruang Rindu" seolah-olah mencerita emosi saat itu.

Wednesday, July 8, 2009

Rindu datang lagi!

Dua tiga hari ni emosi. Oleh itu aku mendiamkan diri. Kali ini emosi rindu. Entah mengapa, dua tiga hari ni aku begitu merindui arwah emak. Entri yang lepas sudah cerita pasal dia. Rindu datang lagi. Semalam ketika melepak dengan kawan-kawan sepejabat di surau sebelum solat zohor, adalah seorang kawan ni, dia paling tua antara kami, aku selalu bermanja dengan dia. Semalam dia meminjamkan pehanya untuk aku mengalaskan kepala seketika. Nikmatnya seperti baring di peha emak. Kakak itu tau aku amat merindui emak sebab itu dia dengan sukarela meminjamkan pehanya untuk aku mengalas kepala.

KW terima kasih. Nanti bila-bila rindu aku tumpang lagi ya.

Friday, July 3, 2009

JM oh JM

Aku senyum sendiri kalau terkenangkan kawanku JM. Dia teman sekerjaku kira-kira 4 tahun lepas. Ikutilah 3 kisah dengan JM yang membuatkan aku tersenyum sorang-sorang kalau teringatkan dia.

Masa mula-mula bekerja JM ni sangat pendiam dan pemalu orangnya. Dia berasal dari pantai timur. Mejanya berhadapan dengan mejaku di pejabat. Suatu hari aku rasa tersangat mengantuk lalu aku menegur JM. “JM, kau ada gula-gula?” Jawab JM “aku ada cekelak, mu nak tak?”. Wah!, dalam hati aku kata, bagus jugak ni. Aku nak gula-gula dia bagi aku coklat. Lalu JM pun menghulurkan aku 2 biji gula-gula kepadaku. Aku tercengang sekejap. Tadi kata coklat ni kenapa pulak bagi gula-gula. Tiba-tiba aku teringat, orang pantai timur (mungkin bukan semua, maafkan aku kalau salah cakap) sebut gula-gula ialah cekelak. Adus! Terkena betul aku dengan mamat ni.


Kejadian ni berlaku ketika JM nak membeli rokok di kedai. Dia punyalah control cakap sebab tak nak orang perasan dia baru datang dari pantai timur. Dengan yakinnya dia berkata “minta rokak sekatak!” Hua hua hua, ayat yang sepatutnya dia sebut ialah “minta rokok sekotak!”



Suatu ketika JM suka cerita pada aku perihal seorang wanita yang suka senyum padanya ketika dia berjalan melewati salah sebuah rumah jirannya. Munurut JM hampir tiap-tiap hari wanita itu kelihatan menerusi tingkap ketika dia lalu. Memandangkan JM sangat pemalu, dia jarang merenung wanita tersebut cuma dia perasan dari ekor mata. Oleh kerana tersangat teruja, suatu hari JM memberanikan diri untuk memandang wanita itu. Huh! wanita itu cuma gambar dari sebuah kalendar yang tergantung di dinding salah sebuah rumah yang dia lalui setiap hari! Nak pecah perut aku.

Sekarang JM tidak lagi bekerja setempat dengan aku. Semoga JM berjaya dalam kerjaya dan kehidupannya. Maafkan aku JM kerana menulis ceritamu di sini.

....nak debik orang

Semalam aku rasa macam nak debik 2 orang manusia ni.

Pertama, manusia yang lupa tanggungjawab dia pada keluarga. Melarikan diri bila dicari. Rasa nak sumpah dia jadi tin biskut, jadi boleh dimakan beramai-ramai!

Kedua, manusia yang taksub dengan kehidupannya yang konon-kononnya “orang KL”. Di mata dia orang lain adalah orang kampong tak setaraf nak dikatakan “orang KL” seperti dia. Sedangkan dia juga berasal dari kampong. Inilah manusia yang mudah lupa asal usul.

Manusia! Manusia!

Wednesday, July 1, 2009

Rara oh Rara

Entri kali ini aku ingin berkongsi cerita tentang Rara. Bukan niat aku untuk membuka rahsia Rara tapi sekadar berkongsi cerita dengan sesiapa yang membaca. Serba ringkas aku cerita kan tentang Rara yang pernah menjadi ibu tunggal kepada 4 orang anak perempuan yang masih kecil. Sebab terjadinya penceraian tidak perlu aku ceritakan di sini. Kini Rara sudah bersuami baru tetapi berkongsi kasih dengan seorang wanita yang tidak sedar akan kewujudan Rara dalam kehidupannya. Lebih tepat lagi Rara menjadi isteri no 2 secara rahsia. Suaminya terlalu ingin menjaga hati isteri pertama.

Semua manusia inginkan yang indah-indah belaka dalam hidup mereka. Rara juga inginkan suami yang baik, beriman dan yang berstatus bujang atau duda. Rara juga tidak mahukan seorang suami yang berstatuskan suami orang. TAPI SIAPA KITA NAK MELAWAN TAKDIR. Aku pernah bertanya kepada Rara – kenapa dia tidak memilih lelaki bujang atau duda untuk berumahtangga kali ke dua ini. Dua faktor yang menyebabkan aku terima alasan Rara. Rara tidak salah. Hidup ini sungguh subjektif.

Mengimbau perbualan aku dengan Rara suatu ketika. Mutiara, aku punyai 4 orang anak perempuan yang bakal tumbuh menjadi gadis remaja, kalau aku berkahwin dengan lelaki yang akan duduk serumah dengan aku sepenuh masa tidakkah akan membahayakan keempat-empat orang permata hatiku itu. Sekarang punya zaman anak-anak gadis menjadi mangsa ayah, abang, datuk dan saudara-saudara lelaki sendiri yang di mana mereka ini sepatutnya dilindungi. Cuba kau bayangkan kalau anak-anakku menjadi mangsa kepada bapa tiri yang bernafsu binatang. Aku menangkap logiknya disitu.

Seperkara lagi Mutiara, aku ni tiada rupa, pelajaran tidak tinggi dan janda beranak 4 pulak tu, kau fikirlah di luar sana berapa ramai anak gadis yang cantik-cantik berpelajaran tinggi yang masih hidup membujang. Mereka juga punyai kemahuan untuk hidup berumah tangga tetapi lelaki baik semakin kurang sekarang ini. Daripada aku tidak laku hingga ke tua lebih baik aku memilih untuk menjadi isteri ke 2. Aku tidak mahu memegang title janda hingga ke mati. Dugaan hidup sebagai janda amat besar. Aku akui tidak mampu hidup sendiri.

Aku faham alasan-alasan Rara masih boleh dipertikaikan lagi tetapi itulah pilihannya yang terbaik buat masa ini.

Mutiara, aku bukan merampas kasih suami orang. Aku cuma menumpang kasih. Percayakah kau, suamiku tidak pernah meninggalkan isteri pertamanya pada malam hari! Aku sentiasa beralah dalam segala hal, aku tiada giliran hari, nafkah zahir dan batin diberi seadanya. Tidak pernah lebih sedikit pun dari apa yang isteri pertama dapat. Aku redha ketentuan Allah pada aku, Mutiara. Aku sayang dan kasih pada suamiku setulus hati biarpun aku tidak dapat hakku sebagai seorang isteri. Tak apa Mutiara, aku beralah di dunia ini. Dunia ni sementara saja. Moga-moga di akhirat kelak aku dapat bersama dengan suami juga. Mungkin ramai kata aku bodoh kerana sanggup menjadi isteri ke 2 yang dinafikan hak-haknya. Tetapi cuba kau fikirkan isteri mana yang sanggup menerima bahawa suaminya beristeri lain?

Kata-kata Rara aku akui banyak benarnya. Aku simpati nasib Rara tapi kalau letak diri aku sebagai isteri pertama untuk menerima madu juga aku tidak sanggup. Biarlah kehidupan Rara begitu. Selagi isteri pertama tidak mengetahui kewujudannya selagi itu rumahtangga Rara selamat. Aku doakan Rara dilindungi Allah swt dan diperkuatkan hati juga iman. Aku akui Rara seorang perempuan yang kuat dan tabah. Aku tidak dapat bayangkan aku berada di tempat Rara.

Rara, aku doakan semoga Allah sentiasa melindungi dirimu dan rumahtanggamu. Kau seorang wanita yang ikhlas menyintai suamimu. Bukan wang ringgit jadi ukuran.

Sunday, June 28, 2009

Sms dari jauh!




Petang tadi aku terima sms dari jauh. Terima kasih pada dia kerana masih mengingati aku dari kejauhan ini.