BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 2, 2009

Maaf, bukan aku tak sayang........

Salam.

Sudah 2 bulan aku tidak mengemaskini blogku ini
Bukan tak sayang lagi, tapi masa terlalu cemburu
Dengan izinNYA juga aku pasti akan kembali
Sekarang ni lebih gemar blog kawan-kawan dan menyelami emosi mereka
Ada yang baru kehilangan orang tersayang, ada yang baru putus cinta, ada yang sedang gembira bersua keluarga (masih suasana raya) dan macam-macam lagi.

Hingga jumpa lagi.

Wednesday, July 29, 2009

Diam bersarang

Dua minggu lebih aku mendiamkan diri, dalam diam aku terperangkap dalam sarang, sarang yang penuh dugaan dan cubaan. Ada ketika aku begitu letih dilambung ombak dugaan. Hampir lemas lemah tak bermaya. Dengan kasih sayang dan rahmatNYA aku berdiri semula. Aku belum mati, jiwaku juga belum mati, aku harus terus hidup selagi dipinjamkan nyawa pada jasadku......

Itu luahan hatiku, lontaran emosiku.....

Petang tadi panggilan dari jauh (petang aku, pagi dia di sana) sedikit sebanyak menyumbang semangat buat aku. Terima kasih kerana mengingati aku di sini. Selingan lagu "Ruang Rindu" seolah-olah mencerita emosi saat itu.

Wednesday, July 8, 2009

Rindu datang lagi!

Dua tiga hari ni emosi. Oleh itu aku mendiamkan diri. Kali ini emosi rindu. Entah mengapa, dua tiga hari ni aku begitu merindui arwah emak. Entri yang lepas sudah cerita pasal dia. Rindu datang lagi. Semalam ketika melepak dengan kawan-kawan sepejabat di surau sebelum solat zohor, adalah seorang kawan ni, dia paling tua antara kami, aku selalu bermanja dengan dia. Semalam dia meminjamkan pehanya untuk aku mengalaskan kepala seketika. Nikmatnya seperti baring di peha emak. Kakak itu tau aku amat merindui emak sebab itu dia dengan sukarela meminjamkan pehanya untuk aku mengalas kepala.

KW terima kasih. Nanti bila-bila rindu aku tumpang lagi ya.

Friday, July 3, 2009

JM oh JM

Aku senyum sendiri kalau terkenangkan kawanku JM. Dia teman sekerjaku kira-kira 4 tahun lepas. Ikutilah 3 kisah dengan JM yang membuatkan aku tersenyum sorang-sorang kalau teringatkan dia.

Masa mula-mula bekerja JM ni sangat pendiam dan pemalu orangnya. Dia berasal dari pantai timur. Mejanya berhadapan dengan mejaku di pejabat. Suatu hari aku rasa tersangat mengantuk lalu aku menegur JM. “JM, kau ada gula-gula?” Jawab JM “aku ada cekelak, mu nak tak?”. Wah!, dalam hati aku kata, bagus jugak ni. Aku nak gula-gula dia bagi aku coklat. Lalu JM pun menghulurkan aku 2 biji gula-gula kepadaku. Aku tercengang sekejap. Tadi kata coklat ni kenapa pulak bagi gula-gula. Tiba-tiba aku teringat, orang pantai timur (mungkin bukan semua, maafkan aku kalau salah cakap) sebut gula-gula ialah cekelak. Adus! Terkena betul aku dengan mamat ni.


Kejadian ni berlaku ketika JM nak membeli rokok di kedai. Dia punyalah control cakap sebab tak nak orang perasan dia baru datang dari pantai timur. Dengan yakinnya dia berkata “minta rokak sekatak!” Hua hua hua, ayat yang sepatutnya dia sebut ialah “minta rokok sekotak!”



Suatu ketika JM suka cerita pada aku perihal seorang wanita yang suka senyum padanya ketika dia berjalan melewati salah sebuah rumah jirannya. Munurut JM hampir tiap-tiap hari wanita itu kelihatan menerusi tingkap ketika dia lalu. Memandangkan JM sangat pemalu, dia jarang merenung wanita tersebut cuma dia perasan dari ekor mata. Oleh kerana tersangat teruja, suatu hari JM memberanikan diri untuk memandang wanita itu. Huh! wanita itu cuma gambar dari sebuah kalendar yang tergantung di dinding salah sebuah rumah yang dia lalui setiap hari! Nak pecah perut aku.

Sekarang JM tidak lagi bekerja setempat dengan aku. Semoga JM berjaya dalam kerjaya dan kehidupannya. Maafkan aku JM kerana menulis ceritamu di sini.

....nak debik orang

Semalam aku rasa macam nak debik 2 orang manusia ni.

Pertama, manusia yang lupa tanggungjawab dia pada keluarga. Melarikan diri bila dicari. Rasa nak sumpah dia jadi tin biskut, jadi boleh dimakan beramai-ramai!

Kedua, manusia yang taksub dengan kehidupannya yang konon-kononnya “orang KL”. Di mata dia orang lain adalah orang kampong tak setaraf nak dikatakan “orang KL” seperti dia. Sedangkan dia juga berasal dari kampong. Inilah manusia yang mudah lupa asal usul.

Manusia! Manusia!

Wednesday, July 1, 2009

Rara oh Rara

Entri kali ini aku ingin berkongsi cerita tentang Rara. Bukan niat aku untuk membuka rahsia Rara tapi sekadar berkongsi cerita dengan sesiapa yang membaca. Serba ringkas aku cerita kan tentang Rara yang pernah menjadi ibu tunggal kepada 4 orang anak perempuan yang masih kecil. Sebab terjadinya penceraian tidak perlu aku ceritakan di sini. Kini Rara sudah bersuami baru tetapi berkongsi kasih dengan seorang wanita yang tidak sedar akan kewujudan Rara dalam kehidupannya. Lebih tepat lagi Rara menjadi isteri no 2 secara rahsia. Suaminya terlalu ingin menjaga hati isteri pertama.

Semua manusia inginkan yang indah-indah belaka dalam hidup mereka. Rara juga inginkan suami yang baik, beriman dan yang berstatus bujang atau duda. Rara juga tidak mahukan seorang suami yang berstatuskan suami orang. TAPI SIAPA KITA NAK MELAWAN TAKDIR. Aku pernah bertanya kepada Rara – kenapa dia tidak memilih lelaki bujang atau duda untuk berumahtangga kali ke dua ini. Dua faktor yang menyebabkan aku terima alasan Rara. Rara tidak salah. Hidup ini sungguh subjektif.

Mengimbau perbualan aku dengan Rara suatu ketika. Mutiara, aku punyai 4 orang anak perempuan yang bakal tumbuh menjadi gadis remaja, kalau aku berkahwin dengan lelaki yang akan duduk serumah dengan aku sepenuh masa tidakkah akan membahayakan keempat-empat orang permata hatiku itu. Sekarang punya zaman anak-anak gadis menjadi mangsa ayah, abang, datuk dan saudara-saudara lelaki sendiri yang di mana mereka ini sepatutnya dilindungi. Cuba kau bayangkan kalau anak-anakku menjadi mangsa kepada bapa tiri yang bernafsu binatang. Aku menangkap logiknya disitu.

Seperkara lagi Mutiara, aku ni tiada rupa, pelajaran tidak tinggi dan janda beranak 4 pulak tu, kau fikirlah di luar sana berapa ramai anak gadis yang cantik-cantik berpelajaran tinggi yang masih hidup membujang. Mereka juga punyai kemahuan untuk hidup berumah tangga tetapi lelaki baik semakin kurang sekarang ini. Daripada aku tidak laku hingga ke tua lebih baik aku memilih untuk menjadi isteri ke 2. Aku tidak mahu memegang title janda hingga ke mati. Dugaan hidup sebagai janda amat besar. Aku akui tidak mampu hidup sendiri.

Aku faham alasan-alasan Rara masih boleh dipertikaikan lagi tetapi itulah pilihannya yang terbaik buat masa ini.

Mutiara, aku bukan merampas kasih suami orang. Aku cuma menumpang kasih. Percayakah kau, suamiku tidak pernah meninggalkan isteri pertamanya pada malam hari! Aku sentiasa beralah dalam segala hal, aku tiada giliran hari, nafkah zahir dan batin diberi seadanya. Tidak pernah lebih sedikit pun dari apa yang isteri pertama dapat. Aku redha ketentuan Allah pada aku, Mutiara. Aku sayang dan kasih pada suamiku setulus hati biarpun aku tidak dapat hakku sebagai seorang isteri. Tak apa Mutiara, aku beralah di dunia ini. Dunia ni sementara saja. Moga-moga di akhirat kelak aku dapat bersama dengan suami juga. Mungkin ramai kata aku bodoh kerana sanggup menjadi isteri ke 2 yang dinafikan hak-haknya. Tetapi cuba kau fikirkan isteri mana yang sanggup menerima bahawa suaminya beristeri lain?

Kata-kata Rara aku akui banyak benarnya. Aku simpati nasib Rara tapi kalau letak diri aku sebagai isteri pertama untuk menerima madu juga aku tidak sanggup. Biarlah kehidupan Rara begitu. Selagi isteri pertama tidak mengetahui kewujudannya selagi itu rumahtangga Rara selamat. Aku doakan Rara dilindungi Allah swt dan diperkuatkan hati juga iman. Aku akui Rara seorang perempuan yang kuat dan tabah. Aku tidak dapat bayangkan aku berada di tempat Rara.

Rara, aku doakan semoga Allah sentiasa melindungi dirimu dan rumahtanggamu. Kau seorang wanita yang ikhlas menyintai suamimu. Bukan wang ringgit jadi ukuran.

Sunday, June 28, 2009

Sms dari jauh!




Petang tadi aku terima sms dari jauh. Terima kasih pada dia kerana masih mengingati aku dari kejauhan ini.

Saturday, June 27, 2009

Catatan malam minggu

tiada yang menarik
sudah penat menonton
aku tidur
puas tidur
aku melayari internet pula
menunggu-nunggu cerita seram di kaca tv
belum kunjung tiba
tiada emosi malam ini
biasa-biasa saja

Award? Award!

Saja buat gempak dengan tajuk. Mula-mula terperanjat. Lepas tu teruja.
Anyway sebelum sign out dari blog malam ni opps pagi ni, aku nak ucapkan terima kasih kepada Dida dari blog Kasihrizhad kerana menghadiahkan award yang cun ni. Cun macam Dida jugak. Maklumlah aku ni kan orang baru dalam dunia blog ni. Lain lah rakan blog yang lain yang memang canggih-canggih betul blog mereka. Blog aku ni kurang feminin. Tapi aku bukan tomboy atau pengkid ya.

Sekali lagi terima kasih Dida.

Janji Allah!

Janji Allah itu benar
Tidak awal atau lewat walaupun sesaat
Setiap yang bernyawa pasti akan mati
Tidak kira siapa
Yang gagah yang lemah
Yang kaya yang miskin
Yang terkenal yang tidak
Semoga aku akan sentiasa beringat
Di mana alam yang kekal buat aku
Buat kita semua

p/s - mmmm semua orang tahu smlm 26.6.09 tarikh kematian seorang penyanyi antarabangsa tapi amalan dan ketakwaan saja yang membezakan kita di mata Pencipta kita kelak.

Wednesday, June 24, 2009

Masih melayan kenangan

Aku masih melayan kenangan ketika entri pendek ini di buat. Aku rindu kenangan bersama dia walaupun cuma seketika. Semoga dia baik-baik saja.

Tinggal kenang

Sudah beberapa hari tidak mencurah rasa hati. Kali ini pun tidak banyak ingin diperkatakan. Cuma petang tadi menerima panggilan telefon dari seseorang untuk mengucapkan selamat tinggal. Bukan berpisah untuk selamanya tapi cuma sementara. Walaupun dia belum aku temui tapi dia aku kenali. Hati terusik kerana ingatan dia terhadap aku. Terima kasih teman kerana masih mengenang diriku ini disaat-saat kau kesedihan kerana ingin meninggalkan keluarga tersayang. Pergi untuk mencapai kepuasan dalam mengejar kerjayamu.

Mengenang kenangan kita suatu ketika yang belum pun lama. Selalunya petang hari menghampiri jam 6 petang, kita akan berbual di telefon. Gurau senda gelak ketawa memenuhi ruang rindu. Kau suka mengusik dan suka juga merajuk. Beberapa bulan lepas kita membawa haluan masing-masing. Bukan kerana benci tapi kesempatan begitu cemburu. Di malam menjelang ulang tahunku kau adalah insan pertama yang mengucapkannya. Aku sungguh terharu sedangkan beberapa bulan sebelum itu kau betul-betul menyepikan diri. Aku fikir dia sudah melupakan aku.

Terngiang-ngiang lagi ucapan terakhirnya tadi sebelum dia memutuskan talian. "Thanks for all". Pergilah dengan selamat. Aku tidak akan melupakanmu.

Saturday, June 20, 2009

Kejutan!

Aku menerima 2 kejutan sejak semalam.

Pertama, melalui seorang teman baik dikhabarkan seseorang yang tidak aku kenali sedang menyiasat tentang aku. Siapa namaku, apa statusku & bagaimana perangai aku. Teman baik dengan ikhlas hati memberi jawapan yang positif tentang aku. Tujuan seseorang yang tidak aku kenali itu telah membuatkan aku bertengkar seketika dengan yang tersayang.

Kedua, seorang sepupu lelaki telah menghubungi aku melalui telefon bimbit. Yang tidak menyedapkan hati beliau ingin berjumpa dengan aku "one by one". Oh tidak, aku rasa tidak perlu walau apa pun niat dan alasannya. Aku jujur pada yang tersayang. Aku sesekali tidak akan mengecewakan kepercayaannya pada aku selama ini.

Kedua-dua kejutan tersebut tidak memberi faedah kepada aku. Terima kasih pada yang tersayang kerana memahami. Manusia yang ingin mengambil kesempatan berada di mana-mana.

Bersyukur dan kepuasan


Kita selalu lupa bersyukur kepada Allah swt dengan apa yang kita nikmati dalam hidup ini. Bukan saja lupa bersyukur tetapi kita selalu mengeluh sekiranya apa yang kita perolehi tidak menepati dengan apa yang kita hajati. Malah kita selalu membanding-bandingkan apa yang kita ada dengan apa yang orang lain ada. Aku bukan mengata orang tetapi ia selalu terjadi pada diri ku sendiri.

Kita jugak tidak pernah puas dengan apa yang telah kita capai dalam hidup. Hakikat itu baik supaya kita akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Tapi tanpa kepuasan jugak membuatkan kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada.

Tatkala kita perolehi apa yang kita idamkan, ia tetap tidak akan menimbulkan kepuasan dalam diri kita. Bila mana setelah apa yang kita idamkan itu tidak mengembirakan atau mengecewakan. Apa pun yang kita perolehi atau miliki sekarang adalah yang terbaik buat diri kita, keluarga kita, agama kita juga masyarakat sekeliling kita. Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Semoga dengan entri ini aku sentiasa bersyukur dengan apa yang aku miliki tetapi akan terus berdoa yang terbaik buat diriku dan orang-orang yang aku sayangi. Amin.

Thursday, June 18, 2009

Tak tau

Aku tidak pasti
Kenapa emosi aku terganggu sejak semalam
Mungkin kerana aku sudah bosan
Bosan pada apa?
Mungkin kerana aku marah
Marah pada siapa?
Mungkin kerana aku sedih
Sedih kerana apa?

Hah, mungkin sebab ini
Semalam aku menonton Sinetron Intang di tv primal
Aku geram kenapa Intang masih belum berjumpa lagi dengan anaknya si Bintan

Hah, mungkin juga aku terkilan
Kenalan baru ku di footbook tidak bertegur dengan ku ketika aku "online"

Mungkin jugak kerana
Aku masih mendengar kutukan-kutukan manja kak long-kak long di pejabat terhadap kakak pencuci

Jadi sekarang aku malas untuk melayan emosi
Aku ingin melayan Intang di kaca tv!

Wednesday, June 17, 2009

kakak pencuci


Kali ini pendek saja cerita aku
Malas nak berjela-jela menaip sebab emosi aku agak terganggu
Tapi aku nak mendapatkan pembelaan untuk insan itu
Mahkamahnya cuma di blog ini

Kakak pencuci itu tiada celanya pada pandangan mataku
Rajin bekerja, manis orangnya dan peramah pula
Tapi minah-minah pejabat di tempat aku ni berlagak mengalah datin
Mengalah orang ternama
Kakak pencuci tu senyum dikatakan terhegeh-hengeh
Kakak pencuci tu tegur dikatakan busy body
Kakak pencuci tu duduk di pantri dikatakan tiada kerja

Oooi kak long-kak long yang tak sedar diri
Tinggi sangatkah darjat kalian
Hingga tak boleh bertegur sapa dengan kakak pencuci
Mudarat apakah pada tubuh badan kalian
Kalau berkongsi tempat di meja minum

Adui, aku bosan melihat gelagat kalian
Yang berkelulusan tinggi begini
Tapi budi bahasa letak di kaki
Agak-agaklah kalau kakak pencuci tu tiada
Bolehkah kalian ni cuci toilet sendiri?

Aku puas setelah dapat meluahkan perasaan begini
Aku tetap akan melemparkan senyuman pada kakak pencuci
Kala kami saling mengucapkan selamat pagi


Monday, June 15, 2009

Kerinduan


Entri pertama ini aku ingin meleraikan kerinduanku yang sarat bersarang di hati. Kerinduan yang terlalu mendalam terhadap emak. Emak yang sudah pergi meninggalkan aku sepuluh tahun lepas.

Menyorot kenangan aku bersama emak, aku anak manja emak. Aku dibesarkan oleh emak sendirian. Walaupun aku ada abah tapi abahku jauh tinggal bersama isteri keduanya. Emak seorang wanita yang sangat tabah. Emak boleh menerima madunya walaupun amat pahit! Emaklah yang membesarkan kami adik-beradik tapi abah ku tidak lupa tanggungjawabnya pada kami adik-beradik. Emak dan abahlah ibu bapa terbaik buat kami.

Seminggu sebelum emak pergi, aku balik kampung untuk menjengahnya. Kepulanganku kali itu emak tunggu untuk memberi banyak aku barang-barang rumah, contohnya pinggan mangkuk, bantal, pisau dan macam-macam lagi. "Emak-emak, kenapa ganjil benar kelakuan emak kali ini", aku sekadar bersuara dalam hati.

Rupa-rupanya itulah pemberian emak yang terakhir! Lewat tenghari aku bergegas balik untuk pengkebumian jenazah emak. Aku mohon pada adik-beradikku agar menunggu hingga aku sampai sebelum mengkebumikan jenazah emak. Tapi sayang sekali, aku amat terkilan, benar terkilan hingga kini, aku cuma kelewatan 15 minit. Ketika aku sampai jenazah emak sudah selamat dikebumikan. Aku amat terkilan kerana tidak dapat menatap jenazah emak buat kali terakhirnya, ingin mengucup jenazah emak, ingin mengiringi langkah terakhirnya di dunia ini.

Kini cuma doa aku kirim buat arwah emak. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Emak, anakmu ini masih dan akan terus merinduimu.

Sunday, June 14, 2009

Percubaan pertamaku - 14 june 2009

Hari ini entah macamana aku dapat kekuatan untuk mencipta blog ini. Aku namakan Mutiara Biru. Aku tak tahu macamana aku dapat nama ini. Yang pasti aku suka pada perkataan pearl, jadi aku melayukan dia menjadi Mutiara. Biru pula, aku suka warna biru. Bagiku amat mendamaikan tetapi aku tak suka pakai baju warna biru. Pada pandangan mataku, kalau aku berbaju biru, aku nampak comot. Ha ha ha itulah ragam manusia.

Sebelum ini aku suka membaca blog-blog orang. Lalu terpikir untuk membuat blog sendiri. Ada yang berblog bila berjauhan dari keluarga. Tujuannya untuk menceritakan perkembangan diri yang jauh di rantauan. Ada yang berblog untuk mengasah bakat menulis. Di blog kita bole menulis apa saja. Asalkan tidak menghentam orang tiada siapa yang marah, kan.

Kenapa aku berblog? Aku seorang yang perahsia, jadi di sini boleh lah aku mencurah segala rasa dan rahsia hatiku. Biar aku tidak dikenali tapi aku dikenali melalui emosiku di sini.